Semangat Hari Ini...

relax ur mind

Friday, July 18, 2008

Petikan dari Rencana Pengarang, Utusan Malaysia, Isnin, 16 Jun 2008.

Suasana ekonomi dan politik negara kita selepas pilihan raya umum (PRU), 8 Mac 2008 lalu kurang baik. Hal ini ditambah dengan kenaikan mendadak harga komoditi makanan dan bahan api.

Dalam keadaan begini adakah kita harus menambah kekeruhan dan menyokong dakyah pihak tertentu semata-mata mahu kerajaan yang memerintah terus dikritik dan dipersalahkan.

Setelah pelbagai langkah diperkenalkan kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat, namun masih ada yang menyebarkan khabar angin dan cerita palsu.

Dengan kewangan negara turut terkena tempias kesan kenaikan subsidi untuk menampung lonjakan harga minyak dunia, pun begitu kerajaan masih mampu membiayai projek pembangunan.

Rakyat harus yakin kepada kepimpinan negara sekarang dan kerajaan bahawa kita mampu menguruskan ekonomi negara tanpa meminjam wang dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

Memang kita mempunyai pelbagai projek mega di koridor-koridor pembangunan wilayah tetapi ia sedang dikaji semula dan dilaksanakan mengikut kemampuan.

Sebab itu dalam keadaan sekarang, rakyat jangan mendengar spekulasi yang tujuannya hanya untuk melemahkan keyakinan kepada kerajaan.

Ada pihak hanya tahu sebar cerita palsu tanpa memberi idea membina. Jika begitu, biarlah pemimpin negara memikirkan dan mencari jalan keluar daripada kemelut ekonomi dunia.

Dalam kemelut sekarang, beri mereka masa untuk menguruskan ekonomi politik negara.

Seperti mana keyakinan diberi kepada kerajaan dalam menghadapi kemelut mata wang pada tahun 1997/98 dahulu, diharap begitu juga dalam masa sekarang.

Rakyat perlu bersama-sama kerajaan dan menjauhi daripada mempercayai khabar angin oleh pihak tidak bertanggungjawab kononnya kerajaan meminjam beratus-ratus billion ringgit daripada IMF dan Bank Dunia untuk tujuan membangunkan koridor-koriodor ekonomi.

Pinjaman daripada badan dunia yang tidak pedulikan bantuan kepada rakyat miskin dan mementingkan pasaran bebas sesungguhnya tidak sesuai untuk negara kita. Selagi kita mampu mengelak meminjam daripada IMF dan Bank dunia, kita harus usahakannya.

Perkataan IMF dan Bank Dunia memang tidak enak didengari, seolah-olah kerajaan kita sudah jatuh papa. Cerita palsu yang disebarkan pihak tertentu elok dihentikan daripada menambah rasa susah hati kalangan rakyat.

Sebenarnya Malaysia mampu bangkit daripada kegawatan ekonomi dan politik ini tanpa campur tangan asing. Rakyat perlu yakin kepada pemimpin yang bertekad untuk memelihara kebajikan hidup semua pihak.

Fahamilah langkah-langkah yang terpaksa diambil untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negara sekarang. Selagi rakyat teguh bersama-sama dengan kerajaan, kita yakin akan dapat keluar daripada suasana krisis ekonomi ini.

Sementara itu, berilah masa untuk kerajaan menguruskan ekonomi negara tanpa dicampuri cerita-cerita palsu.

No comments: